Pada minggu keempat kelas Komputer Dalam Pendidikan, kami telah diberikan tugasan secara berkumpulan untuk mencari maklumat tentang penggunaan Learning Management System (LMS) dan Course Management System (CMS). Bagi melengkapkan tugasan ini, kumpulan kami telah membahagikan tugasan dalam pencarian maklumat, iaitu maklumat mengenai LMS, CMS, dan sumber perisian percuma untuk LMS dan CMS. Melalui tugasan ini, kami telah mempelajari dan mengaplikasikan pembahagian kerja berkumpulan bagi memudahkan kerja-kerja serta meningkatkan hubungan kerja diantara ahli kumpulan kami.Pada kelas kali ini juga, Dr. Siti Fatimah juga telah membahagikan tugasan kepada setiap kumpulan untuk Tugasan 3 bagi minggu kelima dan keenam. Bagi tugasan ini kumpulan kami telah mendapat tajuk Pembelajaran tentang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Kemahiran Berfikir dalam ICT (Thinking Skills and ICT).
Kelas Komputer Dalam Pendidikan pada minggu ini dijalankan secara agak santai. Pada minggu ini juga terdapat pelajar-pelajar kemasukan kedua yang baru mengikuti kelas ini. Pada awal sesi kelas, seperti kebiasaannya, sesi perkenalan bersama pelajar-pelajar baru. Bagi meneruskan sesi kelas, pensyarah telah meminta pelajar secara sukarela untuk mengajarkan pelajaran minggu kedua kepada pelajar-pelajar baru tersebut. Setelah lama menunggu sukarelawan, akhirnya saya telah “disukarelakan” oleh rakan-rakan saya untuk mengajarkan perkara tersebut. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang menarik kerana saya berpeluang untuk merasai situasi sebagai “pengajar”. Walaupun pada mulanya agak kekok dan takut kerana kurang mengingati pelajaran lepas, tetapi lama kelamaan saya berasa teruja untuk bersuara berkongsi pengalaman saya pada kelas yang lepas. Saya sangat berterima kasih kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan pengalaman ini.
Semasa saya “mengajar”, saya dapat merasai perasaan seorang guru di mana pelajar tidak memberi perhatian terhadap apa yang telah disampaikan.Pada masa itu, saya berasa sangat kesal kerana saya pernah SENGAJA melakukan perkara tersebut terhadap guru saya suatu masa dahulu. Setelah selesai sesi “mengajar” tersebut bersama bantuan rakan-rakan dan pensyarah saya, pensyarah meneruskan aktiviti pada minggu ketiga. Aktiviti pada minggu ini meminta pelajar untuk membina satu website menggunakan Weebly (www.weebly.com) untuk kegunaan kursus ini. Website ini akan digunakan oleh pelajar untuk melengkapkan refleksi setiap minggu (seperti yang sedang saya lakukan ini) dan sebagai tempat untuk pelajar menyerahkan tugasan secara individu ataupun berkumpulan. Membina website merupakan satu perkara yang baru bagi saya kerana saya tidak melakukannya sebelum ini. Aktiviti ini jika diambil dengan betul-betul serius, sangat menguji kreativiti dan ketekunan pelajar bagi menjadikan website mereka menarik, senang difahami , serta boleh menjadi sumber rujukan pelbagai pihak, bukan hanya sekadar “asalkan dapat markah dan tugasan semua siap sudah laa”. Tujuan aktiviti ini bukanlah hanya sekadar kegunaan kelas sahaja, tetapi ilmu yang diperoleh boleh digunakan bagi membuat website atau blog peribadi yang boleh diisi dengan info-info serta pengalaman yang menarik. Kelas GGGE1155 Komputer Dalam Pendidikan bermula pada minggu kedua semester 1 bagi Sesi Akademik 2015/2016. Kelas pertama ini menggabungkan perancangan kandungan kursus minggu 1 dan minggu 2 mengikut proforma yang telah disediakan. Pada permulaan kelas, pensyarah menerangkan sedikit sebanyak tentang perjalanan kursus ini serta perkara-perkara yang perlu dilengkapkan bagi membolehkan kami mendapat gred yang cemerlang dalam kursus ini. Pada pendapat saya, hal ini sangat penting kerana pelajar sering mengambil ringan tentang perkara-perkara seperti tugasan jika mereka tidak mengikuti kelas pada minggu tersebut, pelajar sukan khususnya. Oleh sebab yang demikian, aktiviti minggu kedua, menurut proforma, mengajar pelajar-pelajar menggunakan akaun mel elektronik (Gmail) bagi memudahkan pelajar untuk berurusan secara rasmi dengan pensyarah serta melakukan kerja jarak jauh bersama ahli kumpulan(Google Drive). Melalui aktiviti mencipta akaun mel elektronik Gmail ini, pelajar dapat mempelajari kaedah atau prosedur yang lebih sopan untuk berurusan secara rasmi dengan pensyarah mahupun pihak-pihak yang sewajibnya.Hal ini sangat penting bagi meyakinkan pihak yang dihubungi oleh pelajar tersebut tentang tujuan mereka dihubungi kerana emel yang dihantar dilengkapkan dengan maklumat seperti nama, program, dan alamat fakulti. Setelah selesai mendaftar dengan akaun Gmail tersebut, secara automatiknya akaun Google Drive akan dihasilkan menggunakan alamat Gmail yang sama. Penggunaan Google Drive sangat penting bagi setiap pelajar kerana bagi pelajar sukan khususnya, akan terdapat masa di mana mereka terpaksa untuk tidak mengikuti kelas atas sebab bersukan di luar kawasan kampus pada tempoh masa yang lama dan tidak dapat melakukan perbincangan kumpulan secara berdepan (face to face). Jadi dengan adanya Google Drive ini, pelajar masih boleh berhubung untuk melakukan tugasan yang telah ditugaskan tanpa sebarang alasan. Akan tetapi, pelajar tersebut haruslah mempunyai akses kepada internet untuk menggunakan kaedah ini.
|
PenulisAhmad Mokhtar Bin Hussain, |